99 geran penyelidikan inovasi sosial diluluskan

Written by Super User. Posted in Newspaper Report

MELAKA 15 Okt. - Kementerian Sains, Tekno­logi dan Inovasi telah meluluskan sebanyak 99 geran penyelidikan inovasi sosial di seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM9.9 juta.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, geran berkenaan adalah bagi membantu pelaksanaan kerja-kerja berkaitan inovasi di peringkat akar umbi termasuk penghasilan produk, kerja baik pulih, penyedia­an kemudahan dan sebagainya.
Menurutnya, setiap geran bernilai RM100,000 itu bagaimanapun memerlukan kaedah jalinan kerjasama dengan mana-mana pihak di peringkat akar umbi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau persatuan.
?Selain itu, geran ini juga perlu melibatkan pihak penyedia teknologi atau industri yang akan menjalinkan kerjasama dengan masyarakat peringkat akar umbi tersebut.
?Geran penyelidikan inovasi sosial yang baru diperkenalkan tahun ini seterusnya diharap dalam membantu usaha meluaskan skop dana sejajar sasaran kementerian bagi mengkomersialkan produk inovasi berimpak tinggi,? katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Meneroka Keagungan Pencipta Alam Semesta sempena Sambutan Maal Hijrah di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md. Amin; Mufti Kerajaan negeri, Datuk Dr. Mohd. Mohadis Yasin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Mohamad Salleh Ismail.
Abu Bakar berkata, peluasan skop dana ini juga akan meliputi aktiviti kemudahan awam terma­suk memperkenalkan produk akar umbi, kerja membaiki masjid, menyediakan kemudahan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kemudahan-kemudahan baharu yang diperlukan seperti kemudahan kepada nelayan.
?Dana prapengkomersilan yang diurus kementerian boleh digunakan bagi membiayai aktiviti yang berpotensi membantu meningkatkan tahap kesediaan komersial produk-produk penyelidikan,? katanya.
Tambah beliau, daripada jumlah keseluruhan geran yang diluluskan kementerian di seluruh negara itu, 14 daripadanya merupakan projek di Melaka dengan nilai peruntukan sebanyak RM1.4 juta.
Pada majlis itu, Abu Bakar turut melancarkan dua buku astronomi keluaran terbaharu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertajuk Hebatnya Kejadian Alam dan Menjejak Keunikan Gerhana Matahari.
Seminar anjuran Pejabat Mufti Melaka, MAIM dan kementerian terlibat itu turut menyaksikan pembentangan dua kertas masing-ma­sing oleh Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman dan Profesor Dr. Abdul Latip Samian dari Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/99-geran-penyelidikan-inovasi-sosial-diluluskan-1.146961#sthash.FjSluLHH.dpuf