RM970 juta promosi produk inovasi

Written by Super User. Posted in Newspaper Report

MELAKA 27 Nov. - Sejumlah RM970 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan bagi mempromosikan produk dan kerja-kerja penyelidikan produk inovasi tempatan di seluruh negara sehingga 30 Oktober lalu.

Abu Bakar
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, jumlah perbelanjaan tersebut melibatkan sebanyak 1,820 projek penyelidikan dan daripada jumlah projek tersebut, sebanyak 714 projek telah berjaya disiapkan.
Pun begitu menurut beliau, jumlah projek yang telah disiapkan itu dianggap masih rendah dalam bidang pengkomersialan apabila hanya lapan peratus daripada produk berkenaan berjaya dipasarkan di peringkat antarabangsa.
"Kita tidak ragu terhadap budaya inovasi dalam kalangan pelajar di negara ini kerana kita mempunyai silibus, kaedah pengajaran, kemudahan makmal dan pendedahan yang terbaik. Ada dalam kalangan pelajar sama ada di sekolah berasrama penuh atau sekolah biasa berjaya menghasilkan produk-produk inovasi yang bermutu tinggi di peringkat antarabangsa.
"Apa yang membimbangkan kerajaan adalah persediaan kita untuk mengkomersialkan
produk itu selepas dihasilkan kerana untuk memasarkan sesuatu produk bertaraf antarabangsa, kita perlu mempunyai modal dan bekalan bahan mentah yang mencukupi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menutup Kem STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini semalam.
Kem STEM selama enam hari itu dianjurkan oleh MRSM Terendak dengan kerjasama UTeM, Mara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menghimpunkan sebanyak 300 pelajar dari semua MRSM dan SBP di seluruh negara.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Razali Muhamad; Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Mara, Abdul Halim Abas; Timbalan Presiden (Pembangunan Pelajar dan Daya Hidup Kampus) UniKL, Prof. Dr. Khairanum Subari; Pengarah Mara Melaka, Fazli Rizal Ismail dan Pengetua MRSM Terendak, Roslam Yusoff.
Menurut Abu Bakar, kementerian memperuntukkan dana teknologi bernilai RM3 juta kepada mana-mana pencipta yang menunjukkan usaha meyakinkan untuk menghasilkan sesuatu produk inovasi sebagai persediaan awal mereka mencipta produk dan seterusnya mengkomersialkan hasil ciptaan itu.
Namun katanya, setiap ciptaan itu walaupun memenuhi keperluan akademik tetapi perlu memenuhi keperluan pasaran termasuk mempunyai bekalan bahan mentah yang mencukupi.
Beliau dalam pada itu turut melahirkan keyakinan kementerian mampu mencapai sasaran 360 produk penyelidikan melibatkan semua sektor dan jabatan di negara ini untuk dikomersialkan menjelang 2020.
Abu Bakar berkata, dalam jumlah kira-kira 60 projek inovasi dihasilkan setiap tahun pihaknya yakin jumlah itu mampu dicapai kerana belum dikira pelbagai produk inovasi yang dihasilkan oleh jabatan atau kementerian lain dan dikumpulkan oleh pihaknya untuk dikomersialkan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rm970-juta-promosi-produk-inovasi-1.162954#sthash.rlBS3Bn8.dpuf