Malaysia jado pengeluar teknologi inovasi

Written by Super User. Posted in Newspaper Report

BUKIT MERTAJAM 14 Sept. - Malaysia perlu menjadi pengeluar teknologi inovasi jika mahu merealisasikan impian ke arah muncul sebagai negara maju menjelang 2020.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, usaha itu perlu kerana negara mempunyai kepakaran sumber manusia dan produk inovasi tempatan yang boleh diketengahkan.
Beliau berkata, langkah itu juga akan membolehkan Malaysia mencapai tahap negara berpendapatan tinggi.
"Kita tidak boleh menjadi negara pengguna teknologi sahaja kerana penyelidik kita mampu menghasilkan pelbagai produk teknologi yang bermutu bagi keperluan negara," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvokesyen Politeknik Seberang Perai (PSP) Ke-14 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah PSP, Zulkifli Ariffin dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar.
Seramai 554 graduan menerima Diploma Kejuruteraan Mekanikal serta Diploma Teknologi Maklumat dan Komunikasi bagi sesi pertama.
Abu Bakar berkata, pihaknya akan memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak peruntukan sebanyak RM500 juta untuk membeli produk inovasi dihasilkan oleh penyelidik tempatan di negara ini.
Katanya, melalui usaha itu, kementerian merancang untuk melaksanakan buy-back terhadap produk inovasi tempatan untuk dikomersialkan dan sekali gus meyakinkan pengguna menggunakan produk inovasi tempatan.
Menurut beliau, pihaknya menyasarkan 360 produk inovasi untuk dikomersialkan sehingga 2020.
Katanya, sasaran ketika ini adalah 60 produk inovasi dapat dikomersialkan setiap tahun.
"Apabila kita berjaya menjual produk inovasi dan ia memberikan keyakinan kepada masyarakat ia akan membantu menambahkan pendapatan negara," ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/malaysia-jadi-pengeluar-teknologi-inovasi-1.5573#sthash.ua73OMtb.dpuf