Membudayakan inovasi kepada generasi muda

Written by Super User. Posted in Newspaper Report

ALOR GAJAH 6 Mei - Inovasi merupakan sesuatu kaedah atau sistem yang baru diperkenalkan bagi tujuan memudahkan kehidupan pada masa akan datang.
Menyedari kepentingan inovasi terkini dalam kehidupan seharian, membudayakan inovasi dalam kalangan generasi muda perlu dilakukan seawal usia.
Di peringkat pendidikan tinggi, Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) tidak ketinggalan mengadakan pelbagai program termasuk pertandingan tertentu yang berkaitan inovasi dalam usaha membudayakan inovasi dalam kalangan pelajarnya.
Baru-baru ini, kolej tersebut mengadakan Pertandingan Inovasi dan Rekacipta KKMT 2015 serta Program Kembara Kejar Kerjaya Kolej Komuniti Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan.
Menariknya, pertandingan tersebut bukan hanya disertai oleh golongan pelajar, malah turut memberi saingan ialah kakitangan kolej.
Kesemua mereka terdiri daripada 15 kumpulan pelajar dan sembilan kumpulan kakitangan kolej.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Md. Rawi Mahmud berkata, pertandingan bertemakan Inovasi Pemangkin Kelestarian itu menyaksikan sebanyak 24 produk dihasilkan.
Antara produk inovasi yang dihasilkan oleh kumpulan pelajar ialah penghalau lebah, sistem klinik, sistem maklumat pinjaman barangan stor sukan, mini urban farming dan beg beroda.
?Inovasi dan kreativiti adalah fokus utama kerajaan dalam usaha menuju ke arah negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Pendek kata, inovasi merupakan asas kepada pertumbuhan dan kemajuan negara.
?Pelbagai program yang telah dirangka dan dilaksanakan bagi membudayakan inovasi di peringkat sektor awam menandakan kepentingan budaya inovasi dalam mendukung agenda transformasi sektor awam.
?Mengambil iktibar daripada pendekatan itu, pelbagai landasan telah disediakan bagi mengiktiraf hasil inovasi yang diketengahkan oleh individu atau kumpulan di sektor pengajian tinggi,? katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program tersebut di KKMT di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah KKMT merangkap Pengerusi Jawatankuasa program, Mohd. Zufri Yazid.
Kata Md. Rawi, budaya inovasi bermula dengan pemerhatian ke atas proses kerja dan ilham untuk menambah baik melalui inovasi dan kreativiti.
Bagaimanapun, katanya, pengamalan inovasi bukanlah bertujuan untuk mendapatkan pengiktirafan dan anugerah semata-mata tetapi lebih penting adalah menjadi budaya setiap warga kementerian yang akhirnya melahirkan kekuatan dan tunjang kepada kejayaan organisasi.
Nama seperti Steve Jobs yang terkenal dengan produk inovasi iPad di bawah jenama Apple sering kali menjadi sebutan apabila bercerita tentang inovasi dan pengaruhnya.
?Setiap manusia dikurniakan tahap inovasi yang berbeza-beza dan tahap inovasi seseorang individu itu mungkin bergantung kepada pengalaman, pendedahan, kebijaksanaan atau kepekaan mereka menilai persekitaran.
?Seseorang yang sangat peka kepada persekitaran sama ada dalam lingkungan kehidupan masyarakatnya atau yang lebih global akan dapat menghasilkan inovasi yang lebih baik,? katanya.
Katanya lagi, minat terhadap inovasi perlu dipupuk dan diambil perhatian di semua peringkat masyarakat sama ada dalam kalangan pentadbir, penyelidik, usahawan, pendidik, petani dan yang lebih penting pelajar.
Md. Rawi berkata, bagi golongan pelajar sama ada di peringkat sekolah atau yang lebih tinggi, pembudayaan inovasi lebih tinggi kerana lebih terdedah serta tahap pemikiran mereka lebih meluas.
- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/membudayakan-inovasi-kepada-generasi-muda-1.88614#sthash.vYGv57U3.dpuf