Inovasi pemangkin kemajuan

Written by Super User. Posted in Newspaper Report

MAMPUKAH Malaysia mencapai status negara maju yang berpendapatan tinggi pada 2020 dan mengekalkan kedudukan itu dalam satu tempoh yang panjang?
Jawapannya, sudah semestinya ia boleh menjadi kenyataan dengan syarat eksport Malaysia tidak terlalu bergantung kepada sumber-sumber tradisional seperti petroleum dan gas, minyak kelapa sawit dan barangan elektronik yang dipasang syarikat asing di negara ini.
Sebaliknya, ekonomi Malaysia harus berorientasi eksport produk dan perkhidmatan baharu yang terhasil daripada inovasi yang dilakukan oleh anak tempatan sendiri.
Dalam masa sama, syarikat di negara ini harus melakukan inovasi bagi memastikan ia dapat beroperasi secara cekap tanpa terlalu bergantung kepada modal dan tenaga buruh yang banyak.
Kaedah pembangunan ekonomi dan perniagaan yang berasaskan inovasi atau lebih dikenali dengan nama faktor produktiviti menyeluruh (TFP) berkenaan merupakan rahsia yang membolehkan lima Harimau Asia iaitu Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Singapura dan Hong Kong berjaya mencapai status negara maju lebih dahulu berbanding Malaysia dan mengekalkan kedudukan itu sehingga sekarang.
Untuk menjadi negara yang pembangunan ekonominya berasaskan TFP, Malaysia perlu memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu institusi, inovasi dan inklusif.
Institusi merujuk kepada kerajaan dan badan-badan di bawahnya yang berperanan menyediakan insentif bagi menggalakkan usahawan mengambil risiko untuk melakukan inovasi bagi menghasilkan produk dan perkhidmatan baharu.
Inklusif pula bermaksud semua inovasi yang dilakukan tidak harus menyebabkan mana-mana pihak dalam masyarakat terpinggir.
Ini bermakna, pekerja yang hilang pekerjaan yang berpunca daripada pembaharuan dalam syarikat haruslah dibantu oleh kerajaan.
Menyedari betapa pentingnya tiga aspek itu, maka Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) telah menganjurkan Forum Megatrends Khazanah 2014 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur selama dua hari yang berakhir Selasa lalu bagi membincangkan perkara berkenaan.
Forum yang bertemakan ?Mendaki Sempadan Kecekapan: Institusi, Inovasi dan Inklusif? yang disertai 1,000 peserta telah dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Dalam titahnya, Sultan Nazrin menyifatkan tumpuan kepada tiga aspek berkenaan adalah selaras dengan hakikat bahawa negara ini tidak boleh bergantung kepada kaedah pembangunan ekonomi cara lama walaupun ia dilihat berjaya menjadikan Malaysia negara berpendapatan sederhana sekarang.
"Jika kita masih bergantung kepada kaedah lama untuk membangunkan ekonomi kita hanya akan menjadi seperti yang disifatkan oleh bekas Perdana Menteri Britain, Harold Wilson iaitu sesiapa yang menolak pembaharuan dia ialah arkitek kepada kemerosotan," titah baginda.
Dalam pada itu, pensyarah Fakulti Ekonomi, Universiti Cambridge, Dr. Ha-Joon Chang yang menyampaikan syarahan khas selepas perasmian berkenaan berkata, untuk meningkatkan ekonomi Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi, ia tidak boleh bergantung kepada produk dan perkhidmatan sedia ada.
"Syarikat Malaysia perlu mengeluarkan produk baharu dan memperkenalkan perkhidmatan yang belum dihasilkan di negara lain.
"Untuk menggalakkan inovasi kerajaan perlu membantu syarikat-syarikat yang menjual produk atau menawarkan perkhidmatan baharu tetapi mempunyai masalah untuk mengeluar atau memasarkannya kerana kekurangan modal.
"Kerajaan juga perlu memberikan insentif kepada syarikat-syarikat yang sanggup menanggung risiko untuk melakukan inovasi termasuk membantu jika mereka jatuh bankrap," ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata, tidak salah Malaysia menjadi negara kebajikan yang menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan pekerja terutama yang menganggur setelah syarikat mereka beralih menggunakan kaedah pengeluaran yang lebih cekap.
"Antara bantuan yang boleh diberikan adalah program latihan semula dan menempatkan pekerja terbabit di syarikat-syarikat lain yang memerlukan pekerja," katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang menutup forum berkenaan berkata, segala idea yang dilontarkan sepanjang tempoh dua hari berkenaan akan dijadikan panduan oleh kerajaan ketika merangka Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang akan dibentangkan di Parlimen pada Mei 2015.
"RMK-11 untuk tempoh 2016 hingga 2020 cukup penting kerana ia akan menjadi penentu adakah Malaysia akan menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi atau tidak," ujarnya.
Mengenai cadangan supaya pembangunan ekonomi bersifat inklusif, Abdul Wahid berkata, aspek tersebut sudah pun dimasukkan dalam Model Baharu Ekonomi (MBE) yang telah diperkenalkan oleh kerajaan.
"MBE memberi penekanan kepada perlunya pertumbuhan ekonomi dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat. Ini bermakna peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hendaklah dipastikan turut meningkatkan pendapatan isi rumah di Malaysia.
"Perangkaan pada 2014 menunjukkan purata pendapatan isi rumah telah naik kepada RM5,919 sebulan. Bagaimanapun, kita sedar terdapat sesetengah isi rumah terutama yang terlibat dalam sektor komoditi yang mencatatkan penurunan pendapatan bulanan.
"Sebab itu kerajaan memberikan bantuan wang tunai kepada mereka dan kita juga sedang dalam proses membantu mereka untuk terlibat dalam bidang lain yang boleh menambah pendapatan," ujarnya.
Tambah beliau, pembangunan ekonomi secara inklusif juga bermakna tidak wujud jurang yang besar antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah, antara bandar dan luar bandar, antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, antara muda dan tua, lelaki dan perempuan dan antara pelbagai kumpulan etnik.
Katanya, pembangunan secara inklusif bukan sahaja memberi fokus kepada peningkatan pendapatan setiap lapisan rakyat tetapi juga mengambil kira aspek-aspek lain termasuk memastikan orang ramai menikmati kemudahan pengangkutan, komunikasi, pendidikan, perumahan dan kesihatan yang lebih baik.
Menurut beliau, kerajaan juga telah mengambil langkah menggalakkan usahawan Malaysia melakukan inovasi dan antara hasilnya adalah pengumuman produk-produk baharu dalam bidang bioteknologi oleh beberapa syarikat Malaysia baru-baru ini yang boleh mengubati penyakit alzheimer dan kanser.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/inovasi-pemangkin-kemajuan-1.10971#sthash.T75IODt8.dpuf