Suburkan budaya inovasi

Written by Super User. Posted in Newspaper Report

Pelbagai pihak wajar menjadikan inovasi sebagai satu budaya yang harus disuburkan bagi membolehkan proses penciptaan diteruskan dan dimanfaatkan oleh pengguna sekiranya berjaya dikomersialkan.
Satu daripada kaedah pembudayaan yang popular dan penggalak kepada aktiviti penyelidikan dan penciptaan yang kini menjadi amalan banyak pertubuhan atau organisasi ialah penganjuran pertandingan dan pameran.
Mengambil contoh Singapura, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara berkenaan antara yang sangat aktif menganjurkan pertandingan inovasi dalam semua sektor dan semua peringkat.
?Mereka menganjurkan 29 acara tahunan pameran inovasi dalam pelbagai bidang sains dan teknologi yang diterajui oleh agensi kerajaan, Agency for Science, Technology & Research dan disokong oleh Kementerian Pendidikannya,? katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Cabaran Inovasi Pertanian Malaysia (MAgIC) baru-baru ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian terbabit, Datuk Mohd. Arif Abdul Rahman. Yang turut hadir, Presiden Persatuan Saintis Penyelidikan Malaysia (MARS), Dr. Wan Manshol Wan Zin dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif Haron.
Beliau berkata, Malaysia juga sedang mengambil langkah yang sama dan terdapat beberapa pameran dan pertandingan utama dilaksanakan di peringkat kebangsaan yang dikendalikan oleh kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama institusi awam dan swasta.
Skop pertandingan tersebut meliputi bidang yang terlalu luas termasuk tenaga, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perubatan, kejuruteraan dan lain-lain.
Skop pertandingan yang luas tidak mampu menyerlahkan inovasi teknologi pertanian dan industri asas tani tempatan.
Oleh yang demikian, menurut Ismail Sabri, kementeriannya memerlukan satu platform and gerbang bagi pereka cipta dan agropreneur mempamerkan penemuan mereka khusus dalam bidang pertanian.
Tujuannya ialah untuk menarik penyertaan seluas mungkin daripada pereka cipta dan agropreneur serta masyarakat amnya seterusnya memperkenalkan inovasi baru bidang pertanian kepada pasaran dan golongan sasar yang lebih khusus.
Penganjuran pameran dan pertandingan inovasi khusus dalam bidang pertanian seperti MAgIC oleh Insitut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) baru-baru ini tepat pada masanya dalam usaha memartabatkan bidang tersebut.
Apatah lagi pameran dan pertandingan inovasi sedia ada seperti MTE, ITEX dan lain-lain lebih menjurus kepada bidang bukan pertanian. Skop pertandingan tersebut tidak memberi ruang yang luas kepada inovasi teknologi dalam bidang pertanian dan industri asas taani tempatan.
Maka penganjuran MAgIC yang menjurus kepada pertandingan inovasi dalam bidang pertanian adalah tepat bagi mengisi kekosongan tersebut.
Ini selari dengan hasrat negara dan kementerian untuk menyemarakkan budaya inovasi dan memantapkannya dalam sektor pertanian.
Pada masa yang sama, acara ini dapat mempertemukan pereka cipta dan penginovasi dengan usahawan di samping mempercepatkan proses pemindahan teknologi dan inovasi kepada golongan sasar.
?Saya berpandangan inovasi pertanian ini mestilah inklusif yakni melibatkan pelbagai pihak seperti penyelidik, pengusaha, pelajar dan petani. Penglibatan yang meluas tersebut akan menjadikan pertandingan ini,? katanya.
Beliau turut mencadangkan agar pada masa akan datang, acara tersebut dibuka penyertaan kepada semua golongan.
Ini termasuk institusi penyelidikan dan pendidikan awam dan swasta, usahawan, golongan belia, murid, petani, nelayan dan penternak untuk mempamerkan kreativiti dan inovasi masing-masing. Cadangan tersebut amat bagus kerana adanya penyertaan yang luas maka lebih inklusif.
Apatah lagi ia bertepatan dengan dasar pembangunan kerajaan yang mementingkan keterangkuman dan melibatkan penyertaan rakyat dalam aktiviti ekonomi.
Semua pihak termasuk industri mestilah dilibatkan dalam proses penjanaan idea, pemikiran, dan penghasilan teknologi dan inovasi melalui pendekatan rakan kerjasama dan engagement.
Ini kerana tanpa penglibatan dengan pengusaha, petani, nelayan dan penternak, di peringkat awal lagi, sukar untuk pencipta menghasilkan inovasi dan teknologi bersesuaian yang wajar atau tepat guna.
Dengan penyertaan yang meluas itu juga dapat menyemarakan lagi budaya kreativiti dan inovasi ke peringkat akar umbi.
Oleh itu MAgIC akan benar-benar menjadi landasan dan gerbang kepada semua pihak berkepentingan untuk mereka mempamerkan penemuan dalam bidang pertanian dan industri asas tani.
?Saya juga mencadangkan agar acara ini menjadi acara tahunan berprestij yang terunggul dan ditunggu-tunggu setiap tahun oleh semua pihak termasuk industri,? ujar beliau.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif Haron berpendapat, penganjuran MAgIC yang kali pertama diadakan bulan lalu boleh dianggap satu platform bagi saintis menonjolkan inovasi berkaitan pertanian.
?Di Malaysia, tidak ada lagi satu platform khusus untuk pameran dan pertandingan inovasi pertanian,??ujarnya sambil memberitahu program tersebut akan diadakan setiap tahun.
Selain itu MAgIC juga memberi peluang kepada pelajar sekolah rendah dan menengah , universiti serta akar umbi untuk mencuba bersaing dengan inovasi masing-masing.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/inovasi/suburkan-budaya-inovasi-1.33948#sthash.iu1IaWas.dpuf