Komersilkan inovasi luar bandar

Written by Super User. Posted in Newspaper Report

MALAYSIA sebenarnya telah melahirkan ramai pereka inovasi dalam pelbagai bidang dan industri yang boleh diketengahkan. Namun, kebanyakan mereka hanya menyimpan produk ciptaan tersebut di rumah tanpa dikomersialkan kerana tidak mengetahui caranya.
Tanpa mengetahui landasan untuk mengkomersialkan, inovasi yang dihasilkan menjadi sia-sia selain menyebabkan kerugian. Sedangkan rekaan tersebut boleh memberi pendapatan lumayan.
Idea yang dilihat kecil dan dipandang ringan pada mulanya itu sebenarnya boleh memberi manfaat kepada masyarakat serta dimanfaatkan oleh industri yang akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Sebab itu itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi keutamaan kepada inovasi dengan menyasarkan untuk mengkomersialkan 360 produk tempatan yang berpotensi tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ini membabitkan pengkomersialan sekurang-kurangnya 60 produk inovasi pada setiap tahun sehingga 2020.
Bagi tahun lalu sebanyak 65 produk telah dikomersialkan dan dipasarkan di seluruh negara yang merupakan sebahagian daripada perancangan MOSTI untuk mencapai status negara maju.
Hari ini, pencapaian kadar pengkomersialan sebanyak empat peratus sudah boleh dianggap memadai dalam usaha pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Namun sebagai agensi peneraju dalam R&D, MOSTI mahu mencapai lebih daripada itu. Inovasi tersebut sampai ke tangan masyarakat.
Menerusi tindakan yang boleh diibaratkan serampang dua mata MOSTI pada tahun ini memperhebatkan usaha pengkomersialan beberapa produk yang biasa disebut indigenous technology atau teknologi luar bandar supaya dapat digunakan oleh orang ramai.
Lebih penting, orang yang mereka cipta produk berkenaan akan mendapat pulangan dan kreativiti serta inovasi mereka dihargai.
Sejak beberapa tahun lalu, sebanyak 1,365 inovasi ini ditemukan menerusi Jejak Inovasi yang dianjurkan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).
Daripada jumlah itu, 54 inovasi telah melalui penilaian terperinci oleh pakar. Hampir 30 menerima bantuan hingga ke tahap prapengkomersialan.
Antara yang ditemukan semasa program diadakan di Sabah ialah makanan tradisional atau serunding tuhau dan mesin pelerai padi.
Justeru, pengenalan program Inovasi Sosial MOSTI (MSI) yang diumumkan oleh kementerian berkenaan baru-baru ini amat tepat pada masanya dalam usaha mengangkat martabat inovasi akar umbi yang dihasilkan pereka luar bandar.
Inisiatif seumpama itu pernah diperkenalkan sebelum ini menerusi TAP@MOSTI melibatkan pengkomersialan semua inovasi yang dihasilkan oleh agensi kementerian berkenaan.
Kerana itu, MSI amat penting sebagai salah satu elemen dalam peluasan skop dana bagi menyediakan landasan kepada pereka tempatan mengkomersialkan produk ciptaan mereka.
Malah, menerusi pengenalan inovasi baharu, mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pembekal teknologi menjelang 2020.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, MSI bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat tetapi juga meningkatkan keupayaan individu melalui kerjasama dengan pelbagai pihak.
?Majoriti program inovasi sosial yang berjaya di dalam dan luar negeri melibatkan kerjasama erat antara individu, komuniti, kerajaan, pertubuhan dan syarikat swasta,? katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kreativiti dan Science4U Zon Tengah, di Putrajaya baru-baru ini.
MSI meliputi pembangunan atau pelaksanaan idea sama ada berbentuk produk, perkhidmatan atau model bagi memenuhi keperluan sosial rakyat.
Ewon mengakui akan kepentingan mengkomersialkan inovasi luar bandar kerana membantu penciptanya meningkatkan pendapatan.
Beliau berkongsi satu kejayaan seorang penduduk kampung di Sabah yang berjaya menghasilkan tuhau.
?Pada peringkat awal pendapatan pengeluar tuhau berkenaan hanyalah RM2,000 sebulan teapi selepas dikomersialkan dan diberi nilai tambah, dia dapat RM10,000 sebulan,?? ujar beliau.
Oeh itu pelancaran dana MSI untuk mengkomersialkan inovasi akar umbi merupakan satu lagi usaha MOSTI memberi penghargaan kepada penginovasi luar bandar
Tambahnya, kerajaan memperuntukkan RM20 juta daripada jumlah dana penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) bagi menjayakan program jangkauan luar ke peringkat akar umbi tersebut.
Dana diperkenalkan bertujuan mempertingkatkan inovasi yang dijejaki supaya aplikasinya lebih meluas dan faedah sosialnya berganda.
Dalam perkembangan lain, Ewon berkata, penganjuran program Karnival dan Kreativiti dan Science4U yang merupakan program di bawah Dekad Inovasi (2010-2020) berlangsung selama tiga hari bermula 16 April lalu dan kali ketiga pada tahun ini selepas diadakan di peringkat Zon Selatan dan Utara.
Karnival tersebut menampilkan 21 aktiviti menarik seperti Cabaran Inovasi Inklusif 2016 anjuran YIM yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM27,000 kepada pencipta yang berjaya menampilkan inovasi terbaik.
Selain itu, turut diadakan pencarian bakat baharu dalam penyampaian berita ramalan cuaca anjuran Jabatan Mateorologi Malaysia selain ceramah eksekutif bersama Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan kartunis terkenal, Datuk Mohammad Nor Khalid ataupun lebih dikenali sebagai Datuk Lat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/teknologi/komersialkan-inovasi-luar-bandar-1.90671#sthash.fBeb8tBf.dpuf