2010 diisytihar Tahun Inovasi Negara

Written by Super User. Posted in Newspaper Report

UTUSAN MALAYSIA: 26/07/2009

KAMPALA 25 Julai - Setelah melancarkan Model Inovasi Negara dan membentuk Majlis Inovasi Negara dua tahun lalu, Malaysia akan melengkapkan gagasannya dalam bidang inovasi dengan mewujudkan Pusat Inovasi Negara dan Dasar Inovasi Negara sebelum mengisytiharkan 2010 sebagai Tahun Inovasi Negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili berkata, kedua-dua komponen baru dalam gagasan inovasi kebangsaan itu dijangka diwujudkan sebelum hujung tahun ini dengan melibatkan usaha penambahbaikan yang bukan saja tertumpu kepada sektor industri dan teknologi.

Malah, katanya, penggubalan Dasar Inovasi Negara dan penubuhan Pusat Inovasi Negara itu merupakan usaha menyeluruh yang meliputi pengembangan definisi inovasi kepada penambahbaikan dalam bidang perkhidmatan, perniagaan, kesenian, media dan bidang-bidang kreatif.

Tambah beliau, dalam bidang industri dan teknologi pula, penambahbaikan tidak lagi tertumpu kepada produk malah inovasi dalam pemerosesan, penghantaran dan pemasaran.

"Cadangan menubuhkan Pusat Inovasi Negara dikemukakan dalam Jawatankuasa Bertindak Pelaksanaan Inovasi Negara sebelum ini yang melibatkan 10 kementerian dan agensi kerajaan.

Secara dasarnya saya bersetuju dengan cadangan itu serta akan membawanya ke mesyuarat Kabinet untuk kelulusan.

"Dasar Inovasi Negara pula kini dalam peringkat kajian, jika diluluskan nanti ia akan memberi perubahan besar kepada usaha kerajaan dalam bidang inovasi memandangkan sebelum ini kita merujuk kepada Dasar Sains dan Teknologi Negara yang agak terhad mengenai inovasi," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau akan menyertai salah satu sesi dialog kumpulan pemikir bertajuk Transformasi: Inovasi Ke Arah Mencapai Wawasan Negara dalam Dialog Perkongsian Pintar Global 2009 (Global 2009) di Munyoyo Commonwealth Resort dekat sini yang bermula esok hingga Selasa ini.

Sesi dialog itu akan dipengerusikan Presiden Uganda, Yoweri Kaguta Museveni dan dijadual turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut akan mengambil bahagian dari Malaysia ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datin Paduka Khatijah Mohd. Yusoff.

Mengulas lanjut, Maximus menjelaskan, Pusat Inovasi Negara yang ditubuhkan kelak akan berfungsi sebagai penyelaras kepada pusat-pusat inovasi dan kecemerlangan di dalam agensi-agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sektor industri dan keusahawanan.

"Pusat inovasi ini akan ditubuhkan mengikut model pusat kecemerlangan yang ada di luar negara tetapi akan disesuaikan dan mesti relevan kepada keperluan negara.

"Saya berharap dengan usaha bersungguh-sungguh ini akan mampu membudayakan inovasi dalam kehidupan rakyat Malaysia sekali gus merancakkan kemajuan ekonomi negara," katanya.

Sementara itu, Maximus memberitahu, dalam Global 2009, beliau akan berkongsi dengan negara-negara peserta khususnya dari selatan Afrika mengenai pengalaman kerajaan Malaysia melaksanakan inovasi dalam pembangunan ekonomi negara.

Menurutnya, menerusi Model Inovasi Negara yang diwujudkan pada 2005 dan diluluskan kerajaan dua tahun kemudian, Malaysia telah pun mencapai tahap membanggakan dalam bidang inovasi khususnya dalam sektor industri dan teknologi.

"Model inovasi kita dipandu oleh teknologi dan pasaran, kita melakukan R&D (penyelidikan dan pembangunan) terhadap produk-produk sebelum membawanya ke pasaran atau dikomersialkan di Malaysia.

"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bidang inovasi telah diletakkan di landasan yang betul dalam memajukan ekonomi negara termasuk memberi fokus kepada k-ekonomi," tambahnya.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0726&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_19.htm#ixzz3uAvVxd2D
? Utusan Melayu (M) Bhd