UUM SERTAI PAMERAN KOVENSYEN KEUSAHAWANAN TEKNIKAL WANITA (WTC) 2022

UUM Online: Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) telah menerima jemputan daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) untuk menyertai pemeran inovasi khusus untuk wanita di Kovensyen Keusahawanan Teknikal Wanita (WTC) 2022. Konvensyen ini bertemakan ‘Usahawan Teknikal Wanita: Penjana Kemakmuran’ menjadi wadah kepada golongan wanita untuk mempelajari dan mendalami bidang keusahawanan teknikal daripada pakar dalam bidang tersebut.

WTC 2022 telah diadakan pada 15 dan 16 Jun 2022 sempena Minggu TVET Negara 2022. Konvensyen yang berlangsung selama dua (2) hari tersebut telah menghimpunkan wanita daripada pelbagai latar belakang untuk mempelajari keusahawanan teknikal. Pengisian program WTC 2022 adalah bengkel latihan keusahawanan Women DNA bersama INSKEN, tata rias diri Women of Wisdom bersama i-LEAD, forum meja bulat, ekspo pameran keusahawanan & inovasi dan karnival serta aktiviti keusahawanan.

UUM melalui ICC telah membawa produk inovasi Dyslexia yang dihasilkan oleh Yg Berusaha Prof. Dr. Zulikha Jamaludin dan Yg Berusaha Prof. Madya Dr. Husniza Husni. Produk inovasi ini merupakan output penyelidikan geran Kementerian Pengajian Tinggi seperti geran FRGS dan ERGS.

“Setelah dua (2) tahun kita ‘bercuti’ kerana pandemik COVID-19, saya teruja untuk menyertai pameran inovasi yang diadakan oleh UTeM ini walaupun pameran ini diadakan lanjutan daripada Kovensyen Keusahawanan Teknikal Wanita (WTC) 2022. Ini seperti warming up untuk penyelidik seperti saya untuk menyertai pameran inovasi bagi tahun 2022 ini,” ujar Yg Berusaha Prof. Madya Dr. Husniza Husni.

Kovensyen Keusahawanan Teknikal Wanita (WTC) 2022 menutup tirainya pada         16 Jun 2022 dengan perasmian penutupannya disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Turut  mengiringi Yg Berusaha Prof. Madya Dr. Husniza Husni di pameran tersebut ialah Dr. Khofizhoah Mohd Karim, Pegawai Tadbir ICC. Habis.

Connect with us

Innovation and Commercialisation Centre (ICC)

Universiti Utara Malaysia

06010 Sintok

Kedah, Malaysia

 

Tel: +604-928 8751/8755

E-mail: inovasi@uum.edu.my

Search