• bannerICC2
  • bannersocial
  • bannerbusiness
  • bannereducation
  • banneradmin

PENYELIDIK UUM BANTU SEDIA BAHAN PROGRAM EDUWEBTV

5

UUM ONLINE: Menggunakan garis panduan dan rubrik berasaskan mediasi afektif, penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Fauziah Abdul Rahim dari Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden (SEML) menghasilkan projek 'Literacy For Life' bagi menyediakan bahan dan sumber bagi program EDUWEBTV kendalian Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia.

BTP bertanggungjawab untuk menyediakan sumber rujukan dalam bentuk program di EDUWEBTV namun masih kekurangan bahan atau rancangan yang mempunyai elemen mediasi secara afektif yang dapat membangkitkan perasaan gembira dan keseronokan dalam penglibatan pembelajaran pelajar terutama sekali dalam kalangan pelajar yang belum mahir.

Justeru projek 'Literacy For Life: Creating Educational TV Programmes Through The Affective Way' ini dihasilkan bagi mengintegrasikan teknologi dan pengetahuan serta kepakaran akademik untuk disampaikan dan dimanfaatkan kepada komuniti BTP.

Ianya dicapai melalui penyediaan garis panduan dan rubrik berasaskan mediasi afektif bagi rekaan dan pembangunan untuk BTP menyediakan rancangan EDUWEBTV.

Projek tersebut dijalankan bersama tiga lagi penyelidik iaitu Dr. Sarimah Shaik Abdullah (SEML); Dr. Husniza Husni dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) dan Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) serta lapan pelatih siswazah (graduate interns).

Dr. Fauziah berkata 'Literacy for Life' merupakan konsep yang memberi penekanan untuk memperkasa individu dalam komuniti dengan asas pembelajaran masa hadapan yang akan mempengaruhi peluang seseorang dalam kehidupan.

"Program pemindahan ilmu ini memberi peluang kepada para akademik untuk menabur bakti kepada komuniti melalui perkongsian ilmu. Komuniti BTP menggunakan garis panduan dan rubrik ini untuk menyediakan bahan dan sumber yang akan dikongsi pula dengan pihak berkepentingan (selalunya guru) untuk menyediakan pembelajaran yang lebih menarik, baik dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat."

"Kesan rebakan (ripple effect) program pemindahan ilmu ini pula diharapkan berlaku antara pihak berkepentingan kepada masyarakat umumnya iaitu guru dan pelajar. Kami sebagai kumpulan akademik bersyukur kerana program ini juga selari dengan moto universiti kami yang menekankan kepentingan ilmu, budi dan bakti," jelasnya.

Projek tersebut juga merupakan satu-satunya projek penyelidikan dalam bidang bukan sains tulen di bawah Geran Program Pemindahan Ilmu (KTP) yang diiktiraf sebagai salah satu daripada enam projek terbaik pada Persidangan Antarabangsa Program Pemindahan Ilmu (ICKT'15) di Hotel Marriott, Putrajaya yang berlangsung awal Disember 2015 lalu.

Melalui projek ini BTP selaku komuniti utama mendapat latihan dan pengetahuan bermakna mengenai rubrik dan garis panduan berasaskan mediasi afektif. Ianya diakui oleh wakil BTP yang juga Penerbit Rancangan, Suras Kanagasabai yang melahirkan rasa puas hati akan kerjasama yang terjalin antara UUM dan BTP menerusi projek itu.

"Kita menerima sambutan dan komen yang menggalakkan daripada penonton melalui hasil projek ini. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan lagi dan program pendidikan berkualiti yang berasaskan penyelidikan dapat terus dihasilkan," ujarnya.

Sementara bagi pelatih siswazah yang terlibat dengan projek ini pula, selain menerima pengetahuan teknologi semasa latihan internship dan mendapat pengalaman yang tidak ternilai mengenai produksi di tempat rakaman sebenar, mereka juga telah membantu menganalisa 20 rakaman menggunakan rubrik dan garis panduan.

Selain itu mereka juga menerima pingat Emas di 25th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX'14) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 2014 menerusi projek Interactive Affective Mediation For English Literacy Development (I-AM-ELDe) dan pingat perak di PECIPTA 2015 di tempat yang sama bagi versi kedua Interactive Affective Mediation for English Literacy Development version 2.0.

Masyarakat yang lebih luas iaitu guru dan pelajar juga menerima manfaat hasil kesan rebak projek ini iaitu pembangunan profesional guru secara berterusan hasil daripada penglibatan projek dan prestasi pelajar juga meningkat disebabkan intervensi awal melalui mediasi afektif. Kelestarian hasil projek ini juga terhasil apabila pihak BTP dengan kerjasama Institut Pendidkan Guru Malaysia berkongsi hasil produk dalam program pendidikan guru.

Event Calendar

Online Services


stafmail1myuum1searchpeople1servicedesk1

onlinepayment1mybox1mylab1umis1

learningzone1onlineiso1onlinestatistic1webopac1

Information for...


infostaffinfostudentinfovisitor

Locate Us

          map

Get In Touch

2015 annual civil icon

 Innovation & Commercialization Centre,
 Universiti Utara Malaysia,
 06010 Sintok, Kedah, Malaysia.

phone icon  +(6)04-928 8751
fax icon  +(6)04-928 8752
email  inovasi@uum.edu.my